Monday 28 November 2016

Aksem tumpaskan seludup mercun, beras



KOTA BHARU - Tindakan licik penyeludup yang menyorokkan mercun di dalam sebuah rumah tidak berpenghuni di belakang sekolah di Tegayong, Melor berjaya dikesan sepasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dalam serbuan jam 7 pagi di sini pagi semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 3 pagi itu, sepasukan anggota Aksem menyerbu rumah terbabit dan mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik hitam di kawasan ruang tamu.

Komander Aksem Kelantan, Mohd Asri Yahya berkata, kesemua bungkusan plastik itu berjumlah 60 bungkus dan selepas pemeriksaan dilakukan mendapati di dalamnya kotak berisi mercun dan bunga api pelbagai jenis.

“Dipercayai bungkusan itu diseludup dari Thailand melalui pengkalan haram berhampiran dan dipercayai stok untuk dipasarkan di luar Kelantan bagi sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru China.

“Kesemua mercun itu diserahkan kepada pihak kastam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, dalam rampasan berasingan di Kampung Banggol Setol, Pasir Mas pada jam 1 pagi, sebanyak 100 kampit beras siam dirampas.

Sepasukan anggota Aksem Rantau Panjang membuat serbuan ke atas sebuah stor penyimpanan tembakau yang tidak berkunci dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 201 kampit beras siam gred A.

“Setiap satu kampit beras itu dilabelkan 50 kilogram dan disyaki diseludup melalui pengkalan haram Bukit Lata, Jeram Perdah.

“Kesemua beras ini berjumlah 10,050 kilogram bernilai RM60,300 dipercayai dipasarkan sekitar Kelantan,” katanya.

Mohd Asri berkata kes terbabit diserahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras, Bahagian Industri Padi dan Beras Kementerian Pertanian Industri Asas Tani, Negeri Kelantan untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

No comments:

Post a Comment